top of page
Search
  • Sinar Harian

Orang Asli lancar petisyen bantah perlombongan Lanthanide


Sidang akhbar pelancaran pelancaran petisyen bantahan melalui live video di Facebook Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Khamis.


KUANTAN- Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai melancarkan petisyen bantahan perlombongan nadir bumi Lanthanide di Hutan Simpan Ulu Jelai yang terletak berhampiran Kampung Orang Asli Pos Lanai, Lipis.


Petisyen dalam talian itu bertujuan mengumpul tandatangan dalam talian membantah aktiviti perlombongan bahan nadir bumi yang diluluskan kerajaan negeri Pahang di kawasan itu kepada sebuah syarikat pada 2019.


Pengerusinya Jeffri Hassan berkata, masyarakat Orang Asli Semai di Pos Lanai membantah projek perlombongan tersebut kerana dikhuatiri akan menjejaskan ekosistem kawasan hutan dan mencemarkan air Sungai Tenom.


Menurutnya, aktiviti perlombongan Lanthanide di kawasan itu tidak akan menguntungkan penduduk sebaliknya hanya mengundang kemusnahan alam sekitar yang akhirnya menyusahkan masyarakat Orang Asli di Pos Lanai dan kawasan sekitarnya.


"Bagi masyarakat Orang Asli Semai di sini, mereka masih bergantung kepada hutan tersebut untuk mencari hasil hutan sebagai sumber pendapatan.


"Begitu juga dengan Sungai Tenom, selain menjadi jalan perhubungan, penduduk turut bergantung kepada sumber airnya untuk kehidupan,"katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran petisyen itu melalui live video di Facebook Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada Khamis.


Turut serta Setiausaha Agung PSM, A Sivarajan dan Sarah Irdina dari Misi Solidariti.


Jeffri mewakili penduduk orang asli Pos Lanai membantah aktiviti perlombongan Lanthanide di Pos Lanai, Ulu Jelai, Lipis.


Jefrri berkata, selain bimbang aktiviti itu akan menjejaskan kehidupan kira-kira 1,000 penduduk dari 70 keluarga di Pos Lanai, ia juga turut mengancam habitat pelbagai hidupan liar termasuk gajah dan harimau.


"Kita bimbang jika habitat haiwan-haiwan ini diganggu, akan timbul konflik sekiranya ia memasuki kawasan penduduk.


"Justeru kami mohon sokongan orang ramai untuk tandatangan petisyen bantahan ini supaya aktiviti perlombongan tersebut tidak diteruskan.


"Kami tidak pasti bila ia akan dimulakan namun bagi penduduk ia tidak menguntungkan orang asli sebaliknya hanya memberi manfaat kepada syarikat yang terlibat," katanya.


Sementara itu A Sivarajan berkata, difahamkan, kelulusan kawasan perlombongan nadir bumi itu melibatkan kawasan seluas 660 hektar yang juga 'Central Forest Spine' Semenanjung.


Menurutnya, difahamkan aktiviti itu akan menggunakan teknik suntikan bahan kimia ke dalam tanah melalui pemasangan paip-paip tanpa melibatkan penebangan pokok.


"Apa yang kita bimbang, penggunaan bahan kimia yang dikatakan akan digunakan dalam aktiviti itu akan mencemarkan alam sekitar dan sumber air.


"Kita juga tiada jaminan bahawa pembersihan hutan tidak berlaku sedangkan bila wujud aktiviti ini sudah pasti akan ada binaan dibina dalam operasi mereka,"katanya.


Tambahnya, petisyen yang dilancarkan itu sebagai langkah awal dalam mendesak agar aktiviti tersebut tidak diteruskan demi kepentingan masyarakat orang asli di kawasan tersebut.


"Petisyen ini akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan mengkaji semula kelulusan projek tersebut,"katanya.


Orang ramai boleh menandatangani petisyen itu melalui website https://www.change.org menteri-ketsa-mb-pahang-selamatkan-orang-asli-pos-lanai-daripada-perlombongan-lanthanide atau


https://saveposlanai.wixsite.com/website.


15 views0 comments
bottom of page