top of page
Search
  • Kosmo

Orang Asli Pos Lanai bantah rancangan perlombongan


oleh EDDY AQMAL MOHAMED HAMIDI


KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Bertindak Tanah dan Wilayah Adat Orang Asli Pos Lanai membantah tindakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) meluluskan permohonan pihak ketiga untuk menjalankan kajian bagi tujuan perlombongan di kawasan mereka di Hutan Jelai, Lipis, Pahang.


Pengerusinya, Jeffri Hassan berkata, kelulusan permohonan pihak ketiga itu untuk melakukan penyelidikan bagi tujuan perlombongan elemen Lanthanide dibuat tanpa mengambil kira pandangan penduduk orang asli di kawasan tersebut yang bergantung kepada hasil hutan.


“Sebelum ini kami telah membantah serta berjaya membatalkan pembinaan Projek Hidroelektrik Empangan Telom di kawasan Pos Lanai dan kini kami amat kecewa apabila mendapat tahu permohonan untuk aktiviti perlombongan di kawasan tanah adat kami telah diluluskan oleh Jakoa.


“Tidak kira apa projek sekalipun di kawasan ini akan dibantah kerana ia akan memberi kesan kepada lebih 1,000 penduduk orang asli di kawasan terebut yang menjadikan hasil hutan sebagai sumber pendapatan untuk meneruskan hidup,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jakoa di Jalan Ampang di sini hari ini.


Turut hadir, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A. Sivarajan, Penyelaras Rakyat Didahulukan, Keuntungan Dikemudiankan, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan wakil penduduk Pos Lanai.


Sivarajan berkata, kehadiran mereka ke ibu pejabat Jakoa hari ini adalah bagi menyerahkan memorandum bantahan selepas tidak berpuas hati dengan kelulusan permohonan tersebut yang dibuat oleh Jakoa walaupun menyedari kawasan tersebut merupakan tanah adat.


“Sejak tahun 2019 penduduk-penduduk Pos Lanai telah mengenalpasti tanah dan menyerahkan surat termasuk peta bagi memaklumkan kawasan tanah adat mereka kepada pihak Jakoa serta kementerian berkaitan.


“Kita tidak berpuas hati kerana walaupun Jakoa tahu kawasan itu adalah tanah adat namun masih meluluskan permohonan pihak ketiga untuk membuat kajian bagi tujuan perlombongan yang dibimbangi akan menjejaskan kualiti air serta alam sekitar,”tegas beliau.


Difahamkan, permohonan melakukan kajian bagi tujuan perlombongan elemen Lanthanide yang diluluskan oleh Jakoa itu melibatkan kawasan kira-kira seluas 650 hektar dan dijangka akan memberi kesan kepada lebih seribu individu daripada kira-kira 300 keluarga orang asli yang menetap di situ. -K! ONLINE

5 views0 comments
bottom of page